KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura memperkukuh kerjasama bagi menangani ancaman dadah rentas sempadan.

Langkah itu diambil sebagai persediaan menjelang pengoperasian RTS Link Johor Bahru–Singapura pada 31 Disember ini.

Mesyuarat dua hala itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, bersama delegasi CNB Singapura yang diketuai Timbalan Pengarah (Operasi), Aaron Tang.

Menurut Ruslin, pembukaan RTS Link dijangka meningkatkan pergerakan antara kedua-dua negara, sekali gus memerlukan penyelarasan lebih baik untuk menangani ancaman dadah.

“Bagi tujuan itu, AADK akan menempatkan pegawai Unit Antidadah Sempadan (UAS) di Bukit Chagar, Johor dan Woodlands North, Singapura.

“Kedua-dua agensi turut meneliti perkembangan trend baharu ancaman dadah rentas sempadan yang semakin kompleks, termasuk penggunaan teknologi dan platform dalam talian, kemunculan bahan psikoaktif baharu (NPS) serta modus operandi penyeludupan terkini,” katanya.

AADK menegaskan kerjasama itu perlu disusuli tindakan yang jelas dan berkesan oleh pasukan operasi kedua-dua negara.

Agensi itu juga komited memperkukuh kerjasama serantau bagi melindungi masyarakat serta keselamatan negara daripada ancaman penyalahgunaan dan penyeludupan dadah.