Sebanyak 902 klinik kesihatan di seluruh negara dijangka melaksanakan pendekatan kesihatan paru-paru bersepadu menjelang akhir tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penyakit paru-paru kekal antara tiga punca utama kemasukan ke hospital dan kematian di Malaysia.
Pendekatan itu merangkumi promosi kesihatan, saringan, bantuan berhenti merokok dan rujukan untuk rawatan lanjut supaya pesakit mendapat penjagaan berterusan.
“Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memperluaskan penggunaan saringan X-ray dada yang dibantu dengan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pengesanan awal penyakit.
“Antara usaha terbaharu ialah Program LungShield menerusi kerjasama tiga pihak antara IHH, KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melibatkan saringan terhadap 10,000 anggota polis trafik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Saintifik Tahunan 2026 NIHR Global Health Research Unit on Respiratory Health (RESPIRE).
Kerajaan turut menangani punca penyakit pernafasan melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), termasuk melindungi golongan muda daripada pemasaran vape dan rokok elektronik.
Dzulkefly turut menekankan keperluan memberi perhatian kepada penyakit pernafasan kronik seperti asma dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD).
“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, enam peratus orang dewasa dan sehingga 13 peratus kanak-kanak menghidap asma, manakala kira-kira seorang daripada tiga penghidap masih belum didiagnosis.
“Tuberkulosis (TB) juga terus memberi beban besar kepada sistem kesihatan negara dengan kadar insiden sebanyak 96 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2024,” katanya.